Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqah yang masyhur. Suatu
ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi- Nabi
yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang
hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima
wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang
berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi
menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat seperti berikut:-
- Apa yang engkau hadapi, maka makanlah ia;
- Apa yang engkau jumpa kemudiannya, maka engkau sembunyikan;
- Apa yang engkau dapat kemudiannya, maka engkau terimalah;
- Apa yang engkau hadapi kemudiannya, jangan engkau putuskan harapan;
- Apa yang engkau tempuhi kemudiannya, larilah engkau daripadanya."
Pada
keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan
kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna
hitam. Nabi kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan
perkara pertama yang aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil
yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan
menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia
menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi
sebesar buku roti. Maka Nabi pun mengambilnya lalu disuapkan ke
mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun
mengucapkan kalimah syukur, "Alhamdulillah".
Kemudian Nabi itu
meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas.
Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu
pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian
ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu
pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka
berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun
meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu, mangkuk emas itu
keluar semula dari tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan,
tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor
burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai
Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya
merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam
bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang
menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar
dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau
patahkan harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan
arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan.
Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia
membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging
pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu,
helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas
kejadian itu, Nabi meneruskan perjalanannya. Tidak lama kemudian dia
bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun
bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan
hidungnya.
Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka
kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam
doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu
sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku
erti semuanya ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S. W. T. bahawa:
Apa
yang engkau makan itu ialah perasaan marah. Pada mulanya nampak besar
seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal
serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada
madu.
Semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.
Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.
Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
Kelima-lima
kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima
perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari.
Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal
orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain.
Haruslah
kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan
pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada
seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah
dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang
Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu." Maka berkata
Allah S. W. T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang
dirimu."
p/s: Janganlah kamu kisah akan kata-kata orang
tentang dirimu. Biarkan orang mengata, asalkan kamu tahu apa yang kamu
lakukan itu tidak menyalahi agama dan adab masyarakat. Manusia memang
tidak akan berpuas hati dengan apa yang dia ada dan orang sekelilingnya
ada. Maka bersyukurlah kamu sekiranya kamu tahu orang itu mengata
tentang kamu.
Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment